BAS TUNG MA DALAM KENANGAN (Peliknya Manusia!)Perjalanan pukul empat petang ke Kota Kinabalu. Duduk di kerusi paling hadapan, termenung memikirkan keadaan diri. Tiba-tiba teringatkan tulisan bersiri yang sudah lama ditinggalkan. Kemana hilangnya siri 'Bas Tung Ma Dalam Kenangan'? Aduh, kasihan benar ia sudah lama diabaikan. Mencari punca mengapa ia terbiar sebegitu rupa. Ya, selebihnya kerana tidak ada cerita yang benar-benar menarik untuk ditulis. Perjalanan yang dilalui seperti tidak yang mempu mencetuskan idea-idea untuk menulis sesuatu.
Namun kali ini, ya kali ini. Ada sesuatu yang menggerakkan hati, mencerna minda untuk aku memulakan sesuatu, menceritakan perkara yang berlaku. Entah mengapa, perjalanan kali ini, aku seperti diperlihatkan dengan beberapa situasi yang pada aku agak menarik untuk dituliskan sebagai penyambung hayat bagi siri ini. Mesin gergasi yang mampu memuatkan seramai empat puluh orang penumpang ini, dengan sejumlah manusia yang ada, tidak hairanlah apabila berjumpa dengan pelbagai jenis ragam dan perangainya.
Lamunanku terhenti bilamana penumpang-penumpang lain mulai memasuki bas. Riuh-rendah jadinya. Mana yang tercari-cari tempat duduk, mana yang terkial-kial dengan barangan masing-masing. Lagi lima belas minit sebelum bas bertolak, tiba-tiba seorang lelaki dewasa kelam-kabut mencari konduktor sambil mulutnya tidak berhenti berkata-kata.
"Mana dia ni? Mana konduktor bas?"
Jalil, konduktor bertugas pada hari itu muncul entah dari mana.
"Kenapa ni encik?"
"Haa, boleh kau bagi bakul plastik? anak aku ni cepat mabuk. Nanti dia muntah. aku nak bagi dia sekarang juga. Kau cepat sikit ya!"
"Sabar encik, benda tu kami ada sediakan. Nanti saya akan bagi sekejap saja lagi. Jangan risau ya."
"Kau cepat ya!"
Berlalu.
"Nampak sangat pertama kali naik bas!" Rungut Jalil. Aku tersenyum mendengarnya.
Ketika para penumpang kian memenuhi perut bas, kedengaran pula bunyi rungutan dari belakang, kian lama kian mendatang suara tersebut.
"Aku dah cakap awal-awal kat 'amoi' tu. Tapi dia bagi juga aku kerusi belakang!"
Seorang wanita terburu-buru keluar dari bas. Habislah si Amy kali ini. 'Berentaplah dia dengan pelanggan cerewet. Yang si penumpang ini pun satu, sudah tahu datang lambat, bersedialah untuk duduk di kerusi paling belakang. Itulah 'padahnya' apabila lewat membeli tiket. Lagipun, duduk di belakang seribu kali lebih beruntung berbanding mereka yang kehabisan tiket. Bukankah begitu kawan?
Berlalu situasi tadi, seperti dirancang pula, orang yang duduk di sebelah kiriku merupakan orang yang terakhir sekali masuk ke dalam bas. Lima minit sebelum pukul empat, lengkaplah jumlah penumpang yang memenuhi kerusi di dalam bas ini. Penumpang di sebelahku tiba akhirnya. Seorang lelaki muda, rasanya dia ini biasa juga kulihat di sekitar bandar Keningau. Bukan kenalan, tetapi biasa dilihat, itu sahaja. Menuju ke kerusi, dia memandangku sambil tersenyum. Aku membalas senyumannya dan mempelawa dia untuk duduk. Permulaan yang menyenangkan dan agak selesa menurutku, namun semua itu tidak lama.....
Secara tiba-tiba, aku berasa seperti hendak memberontak. Kenapa perkara sebegini yang mesti terjadi? Mengapa hari ini aku bertemu dengan kepelikan manusia hanya di dalam sebuah bas pada hari yang sama? Baru beberapa saat duduk berteman, aku mulai terhidu bauan yang sangat tidak menyenangkan. Rupa-rupanya, penumpang di sebelahku ini baru lepas meminum minuman keras. Baunya, ah! Tajam menusuk ke hidung. Beberapa minit selepas dia duduk, si pemuda ini terus terlelap. Mabuk agaknya. aku yang berasa tidak senang hati, namun begitu jika ada apa-apa yang berlaku, jika si mabuk ini bertindak di luar kawalan, bersedialah kepalamu dihinggapi siku kiri ini!
Akhirnya, perjalanan ini bakal dibusukkan dengan bau arak selama dua jam. sungguh memualkan! Oh manusia.....