Saya mungkin antara yang terkebelakang memiliki buku ini. Apapun, itu tidak bermakna saya sudah terlewat untuk membacanya. Saya tidak pasti jika buku ini memang benar-benar dicetak dalam jumlah yang sangat terhad (mengikut apa yang saya tahu sebanyak 180 naskhah sahaja). Tidak kisahlah, yang penting saya sudah memilikinya!
Tentang dan Kentang, dua judul yang diutuskan oleh penulisnya, Saharil Hasrin Sanin. Seorang blogger yang menjadi pelopor penulisan di laman maya di Malaysia. Beliau telah menghimpunkan hasil tulisan dan lakarannya yang pernah diblogkan dan juga yang diterbitkan di beberapa buah majalah untuk dibukukan, maka terhasillah Tentang dan Kentang ini, yang mana saya suka mencantumkannya menjadi Tentang Kentang. Ini bukan sebarang cerita, bukan juga novel cinta-cinta. Tentang Kentang bagi saya adalah sebuah buku yang gila. Kavernya sahaja sudah memperlihatkan kegilaan. Untuk pengetahuan, saya membaca buku Kentang semasa sedang menaiki bas, balik ke kampung. Penumpang di sebelah saya ketika itu ialah seorang perempuan. Kebetulan pula, kavernya menghadap perempuan itu. saya perasan, dia semakin lama semakin mahu menjauhkan jarak di antara kami. Kerana apa, muka depan Kentang! Itu baru gila yang di hadapan, di dalamnya pula ya ampun, sangat berisi!

Tentang
Buku ini menghimpunkan sejumlah 50 hasil penulisan Saudara Saharil Hasrin Sanin. Bermacam-macam yang ditulis. Tentang kenangan, perasaan, filem, sejarah, perjalanan, kejatuhan, kematian, termasuk juga tentang berkhatan! Banyak ‘tentang-tentang’ yang dikisahkan dan saya menyukai semuanya kerana apa yang ditulis itu tidak lain ialah tentang kehidupan. Benar, tulisannya selamba dan ada kalanya kelihatan celupar tetapi bersesuaian dengan corak penulisan yang hendak ditonjolkan. Saya tidak mampu untuk menamakan mana-mana ‘tentang’ yang paling menarik kerana bagi saya, semua yang dipersembahkan di dalam buku ini adalah terbaik.

Kentang
Baiklah, buku ini menampilkan 172 karya ilustrasi terbaiknya yang pernah diterbitkan di blognya sendiri sepanjang lebih lima tahun berkarya. Jangan pula mengharap ada lukisan seagung (agungkah?) Puan Monalisa di dalam. Bukan begitu! Saharil telah memberikan ilustrasi yang mencuit hati, pedas, kelakar, berlapik (double meaning?) termasuk yang tidak masuk akal. Akhirnya, saya tidak mampu untuk menamakan mana-mana ‘kentang’ (baca: Ilustrasi bertulis) yang paling menarik kerana bagi saya, semua yang dipersembahkan di dalam buku ini adalah terbaik. (Pengulangan ayat pula). Oh ya, peling penting, saya tidak jumpa kentang di dalam 'Kentang'.
Tentang Kentang janganlah dinilai hanya berdasarkan kavernya, seperti mana kebiasaan kita yang lebih suka menghukum berbanding menilai. Ya, karya ini mungkin nampak sangat-sangat ‘double meaning’, tetapi ini bukanlah tulisan tentang cerita-cerita murahan selak kain. Ini buku tentang berfikir dari sudut yang lain!
Saya tidak mahu mengulas berlebihan kerana saya bukannya tahu untuk mengulas buku pun. Tetapi setelah membaca kedua-duanya, saya seperti didatangi dua perasaan yang negatif dan positif. Saya ‘membenci’ penulis ini kerana dia berjaya menghasilkan naskhah karyanya sendiri (maafkan saya menggunakan perkataan yang ada ‘ ‘ itu ya saudara penulis. ^_^). Positifnya, anda tuan penulis telah memberikan inspirasi kepada saya. Saya juga semakin bersemangat untuk kembali aktif mencatit apa-apa sahaja di laman blog sendiri, walaupun tidak ada sesiapa yang membacanya, ha ha ha!
Akhir sekali, terima kasih kerana menghadirkan karya ini, saya suka dan teruja membacanya. Saya tidak kisah sama ada tulisan di dalam buku ini penulis betul-betul memikirkannya ataupun menulis dengan fikiran yang kosong (ketika itu), saya membacanya dengan nilaian ada unsur ilmu. Mahunya tidak, ada masanya saya terpaksa berfikir beberapa kali sebelum dapat memahami apa yang penulis ini mahu sampaikan (atau mungkin juga saya ini yang masih lambat pickup!). Ah pedulikanlah, saya mengulas buku ini pun rasanya main ikut suka sahaja. Tetapi, percayalah, ini karya nakal yang terbaik!
SALAM,
BalasPadamBOLEH PINJAM?
Tuan LF, boleh rujuk di link ini ya.
BalasPadamhttp://sinaganaga.blogspot.com/
Terima kasih.
dasattt cendawan tuu..
BalasPadamWah....menarik....
BalasPadam