Aduh!
“Aku suka cara hidup kau sekarang.” Zarul memulakan bicaranya kepada Adi yang sedang terkial-kial memasang papan seterika.
“Cara hidup aku? Cara hidup yang bagaimana?” Adi menyahut teguran Zarul itu dengan persoalan. Tidak ketinggalan, dahinya yang berkerutan.
Jawapan daripada Zarul sedikit tertahan kerana dia sedang sibuk mencicip kopi yang masih panas, buatannya sendiri. Selesai yang itu, dikunyah pula roti yang dihidang bersama. Kembung-kembung pipinya dipenuhi roti yang dimasukkan ke dalam mulut sekaligus. Setelah habis ditelan semua, barulah dia menjawab soalan Adi.
“Aku lihat kau seorang yang penuh dengan penjimatan. Tidak banyak benda yang kau perlukan. “
Sekali lagi dahi Adi berkerut. Dia yang sedang menggosok baju yang berkedut seribu itu menghentikan aktivitinya. “Apa yang kau katakan ini? Aku langsung tidak faham.”
Zarul tergelak kecil. Sempat lagi dia meneguk kopi yang masih panas sebelum menyambung bicaranya. “Kau tenang kawan. Maksud aku begini, kau tinggal di rumah yang boleh dikatakan milik kau sendiri...”
“Rumah ini milik keluarga kami, Zarul...” Adi sempat memotong kata-kata sahabatnya.
“Baiklah, tetapi buat masa ini kau yang menjaganya bukan? Kemudian soal makan pula, kau bukan jenis orangnya yang kuat makan. Kau makan seadanya.” Sambung Zarul lagi.
“Apa sebenarnya yang hendak kau maksudkan ini? Adi bertanya sambil menyambung kembali urusan menggosok pakaian. Sesekali matanya mengerling ke arah Zarul yang masih lahap mengunyah roti yang bagaikan tidak akan habis walaupun sudah beberapa kali dimakan.
“Aku hanya kagum dengan kesederhanaan kau. Aku gembira dapat tumpang di sini selama beberapa hari dan sepanjang yang aku lihat, walaupun rumah kau lengkap dengan banyak peralatan, kau tidak berlebih dalam menggunakannya.”
“Apa lagi yang kau nampak selain itu?” Kali ini Adi mahu rakannya itu meneruskan apa yang dilihat sepanjang dia menumpang tinggal di rumahnya.
“Baik, contoh seterusnya iaitu televisyen dan lampu. Kau jarang menonton. Sesekali televisyen dipasang, untuk rancangan yang bermanfaat sahaja. Begitu juga lampu, dipasang hanya di tempat-tempat yang memang perlu sahaja.” Semakin bersemangat Zarul memuji Adi, si tuan rumah.
Habis sahaja sudut kain yang terakhir, Adi menamatkan kerja menggosoknya itu lalu menghampiri Zarul dan duduk di sebelahnya. Adi mencubit sedikit bahagian roti yang ada dan memakannya perlahan-lahan. Habis semua, dia berkata, “Nampaknya, kau sudah nampak yang aku ini jenis bagaimana, bukankah begitu kawan?”
Zarul mengangguk. Dia merenung Adi, menantikan kata-kata seterusnya.
“Tetapi, peristiwa dua hari yang lepas benar-benar menghairankan aku...” sengaja Adi menggantungkan ayatnya, tidak dinyatakan sehingga habis. Kini, giliran Zarul pula yang berkerut dahi.
“Peristiwa apa? Kejadian misteri?” Zarul bertanya.
“Ya benar, kejadian yang sungguh misteri. Semasa aku balik, habis bertugas. Aku buka pintu rumah, kipas sedang berpusing sehingga ke ‘gear’ lima, pengecas laptop sedang dipasang tetapi ia tidak bersambung ke mana-mana, begitu juga dengan pengecas telefon. Semuanya dalam keadaan terpasang. Aku hairan dan berasa yang peristiwa ini sangat-sangat misteri...”
Habis sahaja Adi menjawab, dia menoleh ke arah Zarul dan mendapati, rakannya itu sedang ‘nyenyak’ tidur...
ni mesti zarul yang tak tutup semua ni.. hehe;)
BalasPadamZarul Mengkagumi Adi dari segi penjimatan..namun kekagumannya lagsung tidak membantu Adi malah munkin bulan ni Bill Letrik rumah Adi bertambah...
BalasPadamdah dapat jawapan...
BalasPadamMaaf, baru berkesempatan membalas kunjungan
BalasPadam:-)ingatan berhemah untuk Zarul...
mata terlelap, mungkinkah telinganya mendengar...