PELABUR EMAS PERAK

Khamis, 5 Januari 2012

Catatan Pengalaman Tuan Amran

Catatan Pengalaman Tuan Amran

Saya tertarik dengan status yang ditulis oleh seorang sahabat di Facebook. Seseorang yang bukan sahabat 'hu ha hu ha', tetapi saya lebih menganggapnya sebagai guru, seorang yang senior di dalam kehidupan selain tulisan di statusnya yang lebih banyak menceritakan pengalaman hidup dan juga perkongsian keagamaan. Beliau yang bernama Tuan Amran bin Aliamat telah memberikan kebenaran kepada saya untuk menyalin status ini di laman blog. Berbanyak terima kasih diucapkan kepada Tuan Amran. Berikut merupakan hasil perkongsian yang ditulis di laman Facebook.


Ketika itu saya berumur 5 tahun. Nenek telah membawa saya menziarahi seorang jiran yang sedang sakit tenat. Setibanya kami di rumah jiran itu, kami dipelawa masuk ke ruang tamu oleh anaknya. Saya melihat seorang nenek tua yang terlantar di atas tikar yang diperbuat daripada daun pandan.


Dia dikelilingi oleh anak-anak dan cucu-cucunya. Salah seorang cucunya sedang mengipasnya menggunakan daun tarap kering. Saya juga melihat ada 3 orang nenek sebaya dengan umur nenek saya duduk di sebelah kanan nenek yang sakit itu. Dua orang daripada mereka menguyah sirih dan seorang lagi menghisap tembakau. Suasana ketika itu amat sayu. Apabila nenek yang sakit itu melihat kami, dia tersenyum sedikit. Lalu nenek saya membisikkan sesuatu ke dalam telinga kanannya. Saya melihat dia menggangukkan kepalanya yang dipenuhi uban itu.


Tiba-tiba, salah seorang anak nenek yang sakit itu memasuki ruang tamu mendekati ibunya. Dia membawa sebuah mangguk berisi 2 biji buah epal merah dan buah anggur. Kemudian dia bertanya kepada ibunya, "Mama mahu makan buah-buahan?" Nenek yang sakit itu menggelengkan kepalanya.


Melihatkan kejadian itu nenek saya bersuara, "Anak-anak kita ini, apabila kita sudah sakit barulah mereka berikan buah bladispul (epal) buah selangur (buah anggur), tetapi waktu kita sihat, buah-buahan ini tiada" Mendengarkan sebutan nenek yang tidak betul itu, suasana jadi riuh dengan ketawa, saya juga melihat nenek yang sakit itu tersenyum sedikit. Tetapi saya terkejut melihat salah seorang nenek yang mengguyah sirih itu mengeluarkan air matanya. Lalu dia mengesat air matanya dengan kain selendangnya. Buah epal dan anggur adalah buah-buahan yang mahal untuk penduduk kampung nelayan yang sangat miskin. Rumah mereka beratapkan dan berdindingkan daun rumbia. Manakala tiang dan lantai diperbuat daripada pokok nibung. Nenek saya menyambung katanya, "Apabila kita sudah sakit, walau emas sekalipun yang dikikis tidak akan masuk kedalam kerongkong lagi..." Selang tiga hari selepas itu, nenek yang sakit tenat itu telah kembali ke rahmatullah....


Marilah kita berbakti kepada ibu kita. Berjauhan dengan ibu tidak sepatutnya menjadi alasan untuk tidak berhubung dengan mereka. Zaman ini, kita dengan mudah menggunakan telefon bimbit untuk bertanya khabar dan mengirim hadiah melalui khidmat pos laju. Ingatlah, kalau tidak kerana ibu, kita tidak wujud di dunia ini. Jangan seperti Si Tanggang yang durhaka kepada ibunya disumpah menjadi batu. Padan muka dia!


Semoga kita mendapat manfaat daripadanya, Insya Allah.

6 comments:

  1. Terkesan sungguh baca perkongsian kali ni, betul la..time sihat mereka seolah dilupa untuk dihadiahi buah tangan/makanan sedap2... tapi time sakit baru nak hulur.... Allah....

    BalasPadam
  2. wahh, memang menarik perkongsian ini sahabat..

    BalasPadam
  3. Dapatkan memori 50GB kapasiti simpanan foto, muzik, video dan apa sahaja untuk telefon anda secara percuma hari ini tanpa sebarang bayaran dari Gombug.net! Sebelum 31 Dec 2012 - http://adf.ly/4O5uz

    BalasPadam
  4. ya kebanyakan status nya banyak memberikan sesuatu yang bermanfaat kepada facebookers...

    BalasPadam

Terima kasih atas komen yang diberikan (jika ada). Saya amat menghargai jika anda memberikan identiti diri. 'anonymous' itu agak kurang selesa. Sekali lagi diucapkan Terima Kasih...