Sabtu, 7 Januari 2012

Gigih Berbahasa Melayu

Gigih Berbahasa Melayu

Pagi itu, saya menaiki van menuju ke tempat bertugas. Suasana pagi terasa sangat nyaman dan segar kerana hujan telah turun beberapa jam sebelumnya.

Semasa kami sedang melalui jalan berbukit, keadaan di laluan itu berkabus. Saya yang duduk di hadapan, menghulur tangan ke luar untuk lebih dapat merasa nyamannya suasana pagi itu. Seperti biasa pemandu van itu yang selalu kami panggil Aunty, tersenyum melihat telatah saya.

“Saya suka suasana begini, segar sahaja. Yang putih-putih ini dipanggil apa di dalam Bahasa Melayu? Debu?” Aunty bertanya kepada saya.

Saya tersenyum lebar mendengar soalan itu lalu menjawab ringkas, “Ini disebut kabus, Aunty.”

“Apa dia? Kurang jelas. Boleh kamu eja?” Soal aunty lagi. Selepas saya mengeja dan menyebut dengan sebutan yang betul, barulah dia menganggukkan kepala tanda memahami.

Begitulah Aunty, seorang wanita berbangsa Cina yang tidak pernah segan untuk bertanya sekiranya ada istilah yang tidak difahami ketika bertutur di dalam Bahasa Melayu. Beliau selalu berusaha untuk mencari perkataan-perkataan yang sesuai supaya rakan beliau semasa berbual itu memahami apa yang diperkatakan. Bukanlah maksudnya Aunty tidak fasih. Aunty lancar semasa berkata-kata, sebutannya jelas hanya sesekali ada perkataan yang beliau langsung tidak tahu lalu menggunakan sebarang istilah yang mempunya perkataan yang berkaitan tetapi sebenarnya tidak membawa maksud akan apa yang ingin Aunty katakan.

Pernah suatu ketika, semasa Aunty sedang berbual dengan seorang rakannya mengenai pengantin yang bersanding, keluar ayat beliau yang mencuit hati saya.

“Kalau orang sedang bersanding, saya dengar gelaran untuk orang lelaki ialah raja sehari. Sekiranya begitu, gelaran untuk orang perempuan mestilah ratu sehari bukan?”

Melihat rakannya tersenyum-senyum sambil menganggukkan kepala, saya ikut tersenyum sendirian. Begitulah situasi yang biasa dilalui sekarang. Kadang kala terfikir yang ada masa-masa tertentu, saya sendiri menjadi tempat untuk Aunty bertanya perkataan ataupun ayat-ayat yang sepatutnya di dalam Bahasa Melayu.

Bukan itu sahaja, beliau pernah menceritakan di mana ketika dia telah menegur salah seorang ahli keluarganya yang telah berselisih faham dengan jiran. Aunty menegur kerana ahli keluarganya itu telah mengeluarkan bahasa yang tidak baik.

“Saya tanya, mengapa dia maki jiran itu, rupa-rupanya keluarga saya itu tidak faham maksud perkataan maki lalu ditanyakan semula kepada saya apakah itu maki?” Jelas Aunty sambil ketawa.

Begitu kisahnya. Sedikit namun memberi kesan. Apa yang membuatkan saya berasa kagum, Aunty sentiasa yakin dalam berbicara, namun tetap menjaga tutur kata. Selain itu Aunty juga gigih untuk terus bertutur dalam Bahasa Melayu dan tidak segan bertanya. Ini membuatkan fikiran saya terarah kepada diri sendiri. Pengajaran itu sudah ada di depan mata, ada orang yang sentiasa berazam untuk membetulkan tutur katanya, sedangkan diri sendiri pula masih kabur dengan penggunaan bahasa yang caca-marba!

5 comments:

  1. Faizal Dzasrik ~ Saya adalah seorang yang Caca-Marba. Perghh!

    BalasPadam
  2. bila lama di FB bahasa semakin di rojakkan...

    BalasPadam
  3. he he, aunty boleh terfikir pulak ratu sehari tu...

    BalasPadam
  4. Salam ashrafi,

    Bahasa menunjukkan bangsa

    BalasPadam
  5. bagus auntie itu..suka belajar

    BalasPadam

Terima kasih atas komen yang diberikan (jika ada). Saya amat menghargai jika anda memberikan identiti diri. 'anonymous' itu agak kurang selesa. Sekali lagi diucapkan Terima Kasih...