
Huyan Dan Mimpy
Sudah lebih satu bulan buku ini habis dibaca, namun begitu sehingga sekarang masih terkenang-kenang akan ceritanya. Begitulah penangan naskhah Huyan Dan Mimpy kepada saya.
Karya ini asalnya daripada Thailand. Penulisnya ialah Nippan, yang mana merupakan pemenang Anugerah Buku Kebangsaan Thailand melalui novel ini. Novel yang diterbitkan pada tahun 1977, kemudiannya diangkat ke layar perak pada tahun 1985 dan menjadi filem yang popular, seterusnya memenangi anugerah filem terbaik di Festival Filem Hawaii pada tahun 1986. Di Malaysia, novel Huyan Dan Mimpy yang tajuk asalnya ialah 'Butterfly & Flower' diterjemahkan oleh Tuan Iskandar Syah Ismail dan diedarkan oleh syarikat penerbitan buku yang terkenal di Malaysia, PTS Publications & Distributors sdn. Bhd.
Novel ini mengisahkan mengenai Huyan, seorang remaja yang memahami kemiskinan yang melanda keluarga mereka. Huyan sanggup berkorban berhenti bersekolah, demi kelangsungan pendidikan adik-adiknya dan dia sendiri mengangkat tanggungjawab menanggung mereka dan belanja keluarga dengan menjual aiskrim. Atas desakan hidup dan ketidak cukupan , Huyan menanggung risiko dengan bekerja sebagai penyeludup beras di sempadan Thailand-Malaysia.
Banyak kisah yang menjadikan Huyan semakin matang dalam berfikir, apa lagi dengan kematian tragik rakan sekerjanya yang tergelincir dari bumbung keretapi membuatkan dia mulai berfikir akan masa depan diri dan keluarga. Di saat Huyan menjalani kehidupan, Mimpy hadir sebagai peneman yang sentiasa memberi dorongan, berkongsi kisah dan juga pemberi harapan kepada Huyan untuk mengusahakan sesuatu yang lebih baik. Siapakah Mimpy? Bagaimana pula pengakhiran kisah ini? Dijemput tuan puan untuk membaca kisah penuhnya melalui novel ini.
Apa yang menarik mengenai naskhah ini, dengan membaca, kita bagaikan terbayang-bayang akan apa yang diceritakan. Suasana kehidupan, Keadaan sekolah, gelagat manusia, keretapi dan yang lebih menarik ialah pemandangannya. Seolah-olah ia ada di hadapan mata, selain motivasi dan pengajaran yang banyak di dalam kisah ini, untuk kita lebih memikirkan yang halangan-halangan itu sebenarnya bukanlah menjadi pelemah semangat kita. Memetik kata-kata Puan Nisah Haron mengenai buku ini, “Kemiskinan bukanlah penghalang impian. Kekayaan bukan bererti kebahagiaan.”
Karya yang baik ini tidak harus dilepaskan. Mari membaca!
Saya suka beli buku yang dicadangkan. Tidak pernah mengecewakan..thanks.. tapi baru petang semalam borong 2 buku kat MPH Alamanda. Bulan depan la pula cari huyan dan mimpy;)
BalasPadamasalam ... saya suka beli buku motivasi ...tetapi kekadang hanya baca sket sket ... nak abih baca sampai 3 minggu ..tq.
BalasPadam