Perihal Ilmu.
Apabila bercerita mengenai ilmu, seperti yang kita maklum ada ramai orang yang berilmu. Ramai juga yang tinggi tahap ilmunya. Namun begitu, sekali lagi, apabila bercerita mengenai manusia dan ilmu, berapa ramaikah yang sebenar-benarnya memanfaatkan ilmu yang dimiliki?
Berkesempatan menonton rancangan Dikir Zikir di saluran TV Al Hijrah, sebuah rancangan muzikal dan tazkirah, mereka membincangkan hal berkenaan ilmu. Walaupun ketinggalan kira-kira hampir lima belas minit, Alhamdulillah syukur kerana masih dapat mengambil manfaat melalui baki rancangan yang ada. Ternyata ia bukan sekadar muzikal nyanyi-nyanyi ringan kerana bukan itu sebenarnya yang mahu dipersembahkan. Dendangan pula adalah lantunan lirik yang membawa jiwa kita untuk mengingati Allah dan Rasul-NYA.
Kembali kepada topik yang dibincangkan iaitu ilmu. Betapa sayang sekali dan rugi buat si insan yang ada ilmu tetapi ia tidak diamalkan. Lebih-lebih lagi apabila ia tidak seiring dengan akhlak yang baik. Memetik kata-kata hukama’ yang mana ia juga ada disebut di dalam program Dikir Zikir, yang menyatakan begini, ‘Buah ilmu ialah amal ibadah, buah amal adalah akhlak.’
Maka sangat benarlah apabila berilmu yang tidak disertai dengan amal dan akhlak yang mulia, kita akan bercelaru!
Celaru dalam menjalani perhubungan, celaru dalam pekerjaan, celaru dalam menjalani kehidupan.
Itu kisah manusia yang dikatakan punya ilmu. Tidak mampu membayangkan bagaimana pula halnya jika ia dikaitkan dengan insan yang tidak punya ilmu.
Na’uzubillahiminzaalik.
Assalamualaikum,
BalasPadamMoga ilmu yang dikongsikan di sini akan mencambahkan pahala buat tuan rumah, insyaAllah.
ilmu tanpa amal,sia sia...amal tanpa ilmu,kerja gila namanya...
BalasPadam