Mimpi Manis, Gila-Gila.
Malam semalam, saya mendapat mimpi yang agak gila-gila. Mimpi yang seingat saya ia berlaku kali pertama dalam tidur saya. Saya menikmati mimpi itu dengan gembira dan hilai tawa. Ya, saya ketawa dan cuba menulisnya. Tidak tahu pula sekiranya ia dikongsi mampu menghadirkan rasa suka atau pun sebaliknya.
Sewaktu tidur, saya bermimpi yang saya sedang tidur. Tempat saya tidur pula bersebelahan dengan dinding. Sedang saya dalam lena, tiba-tiba pintu bilik dibuka dengan kasar. Saya tersedar tetapi masih memejamkan mata kerana mahu melihat siapa yang masuk. Kelihatan ada dua orang lelaki dan wanita, jelas senyuman mereka menuju ke arah saya.
Apa yang dilakukan oleh mereka? Beberapa batang berbentuk silinder yang agak kurus dilekatkan pada dinding betul-betul di atas muka saya. Siap sahaja ia dilekatkan, mereka yang sambil menahan ketawa meletakkan pula buah-buah catur bersaiz besar di atasnya. Mata saya terbuntang melihat perlakuan mereka. Saya memandang lelaki berkulit hitam dan wanita tempatan itu, mereka masih lagi menahan ketawa. Saya menggerakkan kening memberi isyarat meminta penjelasan.
“Bertahan encik, jangan bergerak kerana sekiranya encik bergerak, buah-buah catur ini akan jatuh menimpa muka anda. Kami tidak akan tanggung rasa sakitnya kerana yang merasa hanyalah encik.”
Lelaki itu menegur saya manakala si wanitanya yang jelita itu sudah mula ketawa. Tidak lama kemudian saya pula berkata.
“Ini susah, lambat-laun ia pasti akan bergolek mengenai saya.”
Wanita itu menjawab, “Bertahan. Encik mesti didik buah catur itu, jangan sampai dia bergolek dan jatuh.”
“Didik?” Saya bertanya.
Lelaki tadi memandang saya sambil tersenyum. Tidak lama kemudian dia berkata; “Benar, encik mesti didik, didik, didik buah catur itu supaya tidak jatuh ke muka encik.”
Tiba-tiba saya berasa seperti hendak ketawa. Saya cuba menahannya dan bertanya lagi. “Hendak didik bagaimana? Mahu tidak mahu ia akan bergolek juga?” Ketika itu, perut saya sudah mulai bergegar-gegar menahan ketawa. Kedua pasangan yang tiba-tiba masuk ke bilik saya itu sudah mulai ketawa. Lebih gamat lagi, si wanita itu sudah pecah suara ketawanya . Saya apalagi, ikut sama tergelak.
Tidak lama kemudian, buah catur sudah mula bergolek. Saya hendak menahannya namun malang, rupa-rupanya tangan saya awal-awal lagi sudah diikat dan tidak mampu diangkat. Betapa liciknya mereka sehingga saya tidak sedar ia berlaku. Mahu tidak mahu, saya pasrah menunggu buah catur itu jatuh. Sedikit lagi...
Sudah hampir...
Akhirnya ia jatuh dan... Habislah!
Saya terkejut dari lena. Betapa riuh ketawa Chris Rock dan Erra Fazira yang masuk dalam mimpi dan mengenakan saya itu betul-betul mengejutkan!
Saya tersenyum-senyum mengenangkan. Manis, ya ia sebuah mimpi yang manis. Lebih manis kerana sebelum mereka masuk, saya sempat melihat ibu sedang berjalan-jalan mengelilingi rumah dengan senyuman yang sangat indah dan keadaan badan sebagaimana beliau sihat suatu masa dahulu. Semoga detik itu akan kembali semula kepada ibu.
sweet dream laa..hehehe...semoga mimpi itu membawa keceriaan untuk hari ini...amin..
BalasPadamkaler tak mimpi tuh???
BalasPadam3 hari apabila mimpi tidak menjadi nyata barulah dikabarkan ramai. MasyaALLAH.
BalasPadamNyata untuk apa? Saya bercerita.
Padambeliau hanya bercerita sahajalah.....
PadamKisah bonda itu yang memautkan hati~
BalasPadamsy pernah mimpi lucu n ketawa ketika tidur...sehinggakan abg2 saya ketakutan dan membangunkan ibu dari tidur pada malam itu...sungguh lucu...
BalasPadambagusnya mimpi anda ini....
BalasPadam